Aslmkm




More Islamic Greetings Comments

Followers

Saturday 26 November 2011

~TUNANG ??~



Tunang. Khitbah. Ikat.
Apa sahaja namanya. Ia merujuk kepada satu proses perjanjian untuk berkahwin secara rasmi. Proses di mana termeterai dengan lafaz lamaran dari seorang lelaki dan dijawab pula oleh seorang wanita.
Lalu jadilah bertunang.
Maqasidnya ada. Asasnya ada dalam syarak, bukan rekayasa. Konsepnya termaktub dengan jelas lagi terang. Tetapi, kita bukan mahu berbicara tentang betul atau tidak konsepnya. Kita mahu bicara, mengapa banyak benda tidak betul lahir daripada konsep yang sememangnya betul?
MASALAH DAN MUSIBAH
Hakikatnya, banyak masalah dan musibah lahir bukan disebabkan salahnya konsep. Bahkan ia lahir disebatkan salahnya kita MEMAHAMI dan MEMPRAKTIKKAN konsep.
Contohnya bertunang. Konsepnya adalah untuk membuka ruang perkenalan antara dua orang yang mahu berkahwin dan dalam masa yang sama berlaku proses perkenalan antara dua keluarga. Kedua-dua orang yang mahu berkahwin ini juga boleh menggunakan tempoh masa bertunang itu untuk mempersiapkan diri, mengukuhkan tekad di hati dan bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai suami atau isteri.
Dalam masa yang sama, soal perhubungan antara kedua orang tersebut tetap terbatas. Islam tetapkan, jika mahu berjumpa wajib ada bersamanya mahram. Maknanya, Islam tetap tidak membenarkan sebarang bentuk perlakuan KHALWAT yakni berdua-duaan tanpa mahram samada di alam NYATA ataupun di alam MAYA.
Hari ini kita berdepan dengan masalah dan musibah.
Sebabnya, konsep di atas bukan sahaja gagal dipraktikkan dengan betul bahkan di awalnya lagi konsep tersebut langsung tidak difahami. Seronok mahu bertunang. Seronok bergelar tunangan orang. Seronok mengaku tentang ‘hak’ sebagai tunang. Tetapi apakah TUJUAN syarak mewujudkan pertunangan langsung tidak dihayati dengan baik.

REALITI
Apa yang saya sebutkan adalah tentang praktikaliti yang salah dan menyimpang dari tujuan asal. Dan ia berlaku bukan kepada orang yang jahil tentang Islam, bahkan juga kepada orang yang faham Islam, berjuang untuk Islam dan terlibat dengan gerakan Islam. Hari-hari cerita tentang dakwah, hari-hari cerita tentang usrah, hari-hari cerita tentang ukhwah, tetapi hari-hari juga mengamalkan budaya jahiliah.
Depan laptop, dalam bilik, dalam rumah.
Apabila ‘sah’ menjadi tunang, maka SEPATUTNYA urusan nikah DISEGERAKAN. Bukan dilengah-lengahkan dan ‘selesa’ pula berada dalam fatrah tersebut. Malangnya, ramai orang tidak sedar bahawa fatrah bertunang adalah fatrah FITNAH. Tempoh yang paling mudah dan paling kerap membuka pintu fitnah kepada lelaki dan perempuan.
Puncanya, PERHUBUNGAN. Ikhtilat, mu’amalat, pergaulan, namakan apa sahaja.
Setiap hari, ada sahaja mesej yang diberi.
Mula-mula, mesej berbaur serius, masih mengekalkan ciri-ciri ‘bakal suami isteri beriman’. Mula-mula, mesejnya hanya seminggu sekali. Sekali mesej, taip panjang-panjang. Atau menggunakan emel. Sekali hantar emel, sepuluh perkara disebut sekaligus.
Kemudian, lama sikit, mula longgar. Dari mesej berbaur serius, mula kendur sedikit demi sedikit. Mula ada unsur lawak jenaka, usik mengusik dan tertawa. Mula rasa SELESA. Mula rasa gembira. Mula rasa bahagia.
Mana taknya, cuba anda bayangkan. Katakan seorang wanita yang dari awal dididik supaya menjaga batas ikhtilat lelaki dan perempuan. Dalam kamus hidupnya, tiada nama lelaki kecuali ayah, abang dan atuk. Kemudian, tiba-tiba beroleh tunang. Tunang, bukan suami. Tetapi dalam hidupnya, hanya itulah satu-satunya ‘lelaki’. Selebihnya, perempuan.
Ya, di awal mungkin masih segan-segan, berlagak keras dan tegas. Lama kelamaan, makin longgar. Manusia ada pasang surutnya. Mula-mula, waktu ada masalah dan mahukan semangat atau motivasi, sahabat-sahabat usrah yang dicari. Selepas beroleh tunang, lelaki itulah intan payung pengubat hati.
Lalu berhubungnya setiap hari. Dari tidak kerap, menjadi kerap. Dari bercakap hal penting, kepada hal yang kurang penting. Akhirnya, hanya bercakap hal yang langsung tidak penting. Pantang ada ‘cerita’ mesti beritahu tunang, biarpun langsung tidak berkait. Kononnya atas nama ‘kejujuran’.

TIDAK KENAL SYAITAN
Sebab itu kita kena kenal Syaitan. Orang cakap, tak kenal maka tak cinta. Tetapi kita kenal Syaitan bukan sebab nak cintakan Syaitan, tetapi sebab nak cintakan AGAMA dalam diri kita. Makhluk tersebut Allah sebut dengan jelas sebagai MUSUH. Bahkan Allah arahkan pula supaya jadikan Syaitan sebagai musuh. Wajib jadikan musuh, tak boleh tengah-tengah.
Bila kenal Syaitan, barulah kita kenal gerak kerja makhluk tersebut.
Nabi s.a.w sebut : ” Tidak berdua-duaan lelaki dan perempuan, melainkan Syaitan adalah makhluk yang ketiga ”
Peringatan ini Nabi tujukan khas kepada kita supaya kita kenal dengan Syaitan. Ya, orang yang tidak menganggap Syaitan ini musuh akan berkata : So, apa masalahnya kalau Syaitan ada sekali? Tetapi orang yang mengenali Syaitan ini musuh, tindakannya tidak akan seperti itu.
Serupalah juga dalam bab bertunang.
Hari-hari berhubung, tanya khabar, luah masalah, luah perasaan, membelai-belai jiwa, ini semua LANGSUNG TIADA BEZA dengan orang bercouple. Di sisi Islam, perbuatan-perbuatan tersebut tidak ada bezanya samada dilakukan oleh anda yang sudah bertunang atau kawan anda yang tidak bertunang, DOSANYA tetap sama. Syaitan yang menjadi makhluk ketiga tetap sama. Mukaddimah zina tetap sama. Khalwat tetap khalwat, bukan ibadat.
Tetapi hari ini susah. Susah mahu fahamkan orang yang jahil tentang agama, tetapi lagi susah mahu menegur orang yang ahli dalam agama. Terlibat dengan kerja dakwah tetapi atas nama tunang, dalam bilik berkhalwat juga, biarpun secara MAYA.

SOLUSI
Apabila kita timbulkan isu seperti ini, orang akan bertanya ; habis, apa yang pasangan bertunang perlu buat? Itu tak boleh ini tak boleh.
Jawabnya, kalau nak jadikan ‘boleh’ atau ‘tidak boleh’ itu mengikut hati dan akal sendiri, silalah ciptakan satu lagi bumi dan lakukan apa sahaja yang kita suka. Itu pertama.
Kedua, apa yang pasangan bertunang perlu buat adalah :
1- Segerakan BERNIKAH.
Ada orang cakap, masa majlis bertunang sudah ada perjanjian tentang tarikh pernikahan. Mereka ikutkan sahaja. Kalau hari ini bertunang dan nikah 4 atau 5 tahun lagipun mereka ikutkan juga. Pada saya, jodoh adalah ketentuan Allah dan kita perlu usaha. Cepat atau lambat, bukan terletak pada tarikh yang dijanjikan. Soalnya, jika kita berusaha selaras dengan kesedaran kita tentang hakikat lemahnya diri kita dalam menjaga perhubungan ketika bertunang, InsyaAllah Dia akan tunjukkan jalan. Tidak mustahil, tarikh pernikahan boleh dipercepatkan. Yang menjadi masalah adalah, selesa bertunang dan tidak mahu segera bernikah.
2- Utamakan TUJUAN
Bab tujuan yang saya sebutkan di atas perlu diberikan fokus utama. Capai matlamat tersebut dahulu dan jangan biarkan ada ruang walau seinci pun untuk Syaitan mencucuk. Fokus kepada pembinaan diri. Fokus kepada persediaan ekonomi. Fokus kepada proses perkenalan antara dua keluarga. Fokus kepada perancangan jangka masa panjang dan pendek. Banyak lagi fokus-fokus yang tidak diberi perhatian, berbanding : ” Enti sudah sembuh ke sakit kepala? Ana ada panadol ” atau ” Enta dah ready ke nak exam? Malam ni kita study sama-sama sambil chat ye ” atau ” Ana nak kongsi cerita kat enta ni, dia tu begitu dan begini, hari tu begitu dan begini ” dan segala macam perkara lain yang langsung tidak berkaitan dengan tujuan pertunangan.
3- Fahami BATASAN
Jangan melampau. Ini sering berlaku. Baru bertunang tetapi mengalahkan orang berkahwin. Sikit-sikit mesti ‘lapor’. Sikit-sikit mesti ‘minta restu’. Bahkan kalau diikutkan hati, mungkin setiap hari mahu bersalah dan mencium tangan si tunang. Segala perkara luar dan dalam hendak dikongsi. Kononnya atas nama ‘tiada rahsia’. Hari ini cerita tentang ini, esok cerita tentang itu. Hari ini cerita tentang dia ni, esok cerita tentang dia tu. Sampailah sudah tidak ada cerita lagi hendak diceritakan. Ini melampaui batas namanya. Seolah otak terbius virus. Tunang dengan suami pun sudah tidak boleh dibezakan. Kerana terlalu ikutkan hati dan perasaan, tunang diletak setaraf suami. Perlu diberi ‘taat’, perlu dicerita serba serbi dan perlu diminta izin ke sana ke mari. Hakikatnya, inilah PUNCA berlakunya masalah dan musibah dalam pertunangan.
4- Tiada yang berubah sebelum AKAD
Ini paling susah mahu dibuat oleh pasangan bertunang. Tetapi bukan bermakna tidak ada yang mampu buat. Ramai kenalan saya yang saya kagumi kerana sangat menjaga PRINSIP ini. Walaupun selepas bergelar tunangan orang, dia tetap menganggap tunangannya sama seperti ajnabi yang lain. Tetap bukan mahram. Ketegasannya tetap sama. Keteguhannya pada batas ikhtilat tetap sama. Tidak ada ruang untuk bermanja-manja, mengadu atau mengada-ngada. Tidak ada peluang untuk luah meluah atau membelai jiwa. Keterikatannya dengan usrah dan ukhwah tetap sama, tidak ada yang berbeza. Akhirnya mereka berjaya tiba ke gerbang akad tanpa mendahulukan dosa.

KESIMPULAN
Mahu bertunang, bertunanglah. Tetapi awas, jangan sewenang-wenang. Jika anda lelaki, jangan mendabik dada tentang HAK kerana hakikatnya anda belum pun mempunyai hak ke atas tunang anda. Kalau anda wanita, jangan ‘poyo’ sangat mengikut telunjuk tunang anda atas nama ‘taat’. Simpanlah taat itu untuk suami anda yang sah suatu hari nanti.
Berjaga-jaga dan berhati-hati, supaya anda tidak tergolong dalam gerombolan manusia yang menyalahgunakan konsep pertunangan hari ini. Mereka gagal membezakan antara halal dan haram, sedangkan kedua-duanya terang lagi jelas. Apabila dinasihati, mereka menolak dan mendewakan EGO dalam diri. Mereka membantah bahawa memakai kain dan melompat dalam air akan menjadikan kain basah, sedangkan itulah yang kita tegur. Tetapi apabila mereka melompat ke dalam air dan mendapati kain mereka basah, mereka bising pula tentang kain yang basah. Apabila kita menegur tentang batasan perhubungan yang mesti dijaga dalam bertunang supaya tidak berlaku dosa mahupun zina, mereka membantah. Akhirnya, apabila berlaku masalah dan musibah, mereka menyesal tak sudah.
Kembalilah. Islam itu agama yang cukup INDAH. Moga Allah beri HIDAYAH.

No comments: