Tidur siang pernah dianggap sebagai salah satu tanda kemalasan. Islam
menganggapnya sebagai suatu kebaikan asalkan seseorang itu tidak
berlebih-lebihan dengannya. Di dalam kitab 'Misykatul Masabih'
disebutkan tentang salah
satu amalan sunnah yang pernah dilakukan oleh Nabi:
"Tidur
yang sedikit di waktu tengahari (qailulah) tidaklah keji. Rasulullah
ada melakukannya." Imam Al Ghazali di dalam kitab 'Ihya Ulumuddin' telah
berkata: "Hendaklah seseorang tidak meninggalkan tidur di siang hari
kerana ianya membantu ibadah di malam hari sebagaimana sahur membantu
puasa di siang hari. Sebaik-baiknya ialah bangun sebelum tergelincir
matahari untuk solat zohor."
Islam mempunyai pandangan
tertentu tentang tidur tengahari. Ia dianggap sebagai sunnah dan bukan
sebagai suatu yang keji. Tidurnya hanya sekejap. Tujuannya adalah untuk
kesegaran tubuh badan agar dapat dimanfaatkan untuk melaksanakan amal
dan ibadah yang berkualiti. Dewasa ini, berpandukan kajian-kajian
saintifik, tidur sekejap di waktu siang (day napping), terutamanya pada
waktu tengahari, didapati amat berkesan untuk mempertingkatkan tenaga, tumpuan dan akhirnya
produktiviti pekerja-pekerja.
Baru-baru
ini satu kajian 25 tahun tentang kesan tidur ke atas negara-negara
industri dan pasca-industri telah mendapati bahawa "92.5%
pekerja-pekerja yang berkesempatan tidur di waktu tengahari, mempunyai
daya kreativiti yang lebih tinggi. Daya kemampuan mereka untuk
menyelesaikan
masalah juga meningkat. Semua ini pastinya meningkatkan produktiviti."
(Napping News: 'Scientific Proof Confirms: Napping Enhances Worker
Productivity,' from eFuse).
Waktu tengahari merupakan masa
yang paling sesuai untuk tidur seketika kerana sistem badan kita
memang bersedia untuk memanfaatkan fasa tidur pada waktu itu. Fasa ini
disebutkan sebagai 'a midafternoon quiescent phase' atau ' a secondary
sleep gate.' Di antara tokoh-tokoh yang
menggalakkan tidur
tengahari ini ialah dari. William A. Anthony, Ph.di. dan Camille W.
Anthony, pengarang buku 'The Art of Napping at Work.' Demikian juga
yang disebutkan oleh David F. Dinges dan Roger J. Broughton di dalam
buku mereka 'Sleep and Alertness: Chronobiological,
Behavioural
and Medical Aspects of Napping.' dari. James Maas, pakar tidur dari
Cornell University juga telah merumuskan bahawa tidur di tengahari
sekadar 15-20 minit sudah mencukupi untuk mengembalikan tenaga dan
menjaga kesihatan. Seorang pengkaji yang lain, Donald Greeley, telah
mengatakan bahawa tidur tengahari adalah
bermanfaat selama mana ianya tidak melebihi satu
jam. (Gail Benchener: 'Parents and Sleep Deprivation,' Family.com)
Sunnah tidur tengahari yang diajarkan Nabi rupa-rupanya merupakan suatu yang amat saintifik lagi relevan pada hari ini.
No comments:
Post a Comment